Thursday, May 14, 2009

Apa itu guru?



Sambutan Hari Guru pada 16 Mei bakal menjelang beberapa hari lagi. Sesungguhnya, hari istimewa tersebut disambut semata-mata bertujuan menghargai jasa guru-guru yang mengerah tenaga, keringat dan titik peluh mereka selama bertahun-tahun lamanya untuk menjadikan anak-anak bangsa sebagai perintis negara yang gemilang. Mahupun begitu, sebahagian besar anak-anak muda masih belum mengerti apakah fungsi guru sebenarnya. Bagi mereka, guru yang kebiasaannya dilihat sebagai insan yang mengarah mereka, memberi kerja rumah, ataupun hanya melakarkan sesuatu pada papan hitam. Sedangkan tidakkah mereka tahu, tugas guru lebih daripada itu, bukan setakat mengajar sahaja.
Sebenarnya, guru tepat sekali diibaratkan sebagai ibu bapa kedua kepada kita. Mereka mendidik kita sebagaimana apa yang ibu kita lakukan. Mengajar sesuatu yang baru, mengenal huruf, mengajar mengeja, membaca, mengira dan sebagainya.. Contohnya, dalam pendidikan jasmani dan kesihatan, guru mengajar kita menjaga kesihatan. Di sini jugalah anak-anak murid menemui bakat mereka, menemui kesihatan dan minat mereka. Tidakkah mereka sedar, guru lah memberi inspirasi pada mereka sebenarnya.

Guru juga memberi sokongan pada anak murid. Fungsi kaunselor, jelas menunjukkan pihak sekolah begitu ambil berat akan emosi pelajar. Justeru, di sini membuktikan bahawa guru juga membantu dalam membentuk akhlak pelajar. Bukan itu sahaja, malah masa tadika juga, guru membimbing anak-anak kecil bersembahyang, mengambil wuduk serta cara menghormti orang tua. Jika bukan disebabkan jasa guru, apakah kita akan menjadi apa yang kita kecapi pada masa ini.
Sudah pasti, zaman sekarang, kebanyakan anak murid mula melupai jasa guru mereka. Kadang-kadang, pabila mereka berjumpa ataupun bertembung di sesuatu tempat, bukan sahaja tidak memberi salam, malah pandang pun tidak. Tidak sedarkah kita, bahawa orang yang berdiri di hadapan kita itulah punca kita mampu membeli sesuap nasi? Tambahan lagi, anak-anak yang masih kecil juga sudah mula tunjuk belang. Sebahagian daripada mereka enggan ke sekolah kononnya disebabkan guru yang terlalu garang. Bagaimana anak-anak akan dididik untuk menjadi pemimpin, jika cabaran kecil seumpama itu tidak mampu mereka tangani sejak kecil lagi?

Oleh itu, di mana kita berada, walau apa pun kita sekarang, hargailah guru kita, dan jangan sesekali lupa akan hari yang istimewa ini. Sepatah perkataan "Selamat Hari Guru, Cikgu"sudah cukup untuk membuatkan guru-guru anda mengukirkan senyuman kerana mereka tahu, anda menghargai jasa mereka..


Coretan Amirah Shaidi, terima kasih abah kerana menjadi cikgu adik..

No comments:

Post a Comment

Post a Comment