Saturday, March 9, 2013



Sejarah Ringkas Pendidikan di Malaysia

Petikan daripada “Pendidikan di Malaysia: Ke Arah Kecemerlangan” 2008, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Sejak kemerdekaan, pendidikan di Malaysia telah melalui pelbagai perubahan yang besar dan pembangunan yang ketara. Daripada satu sistem yang bercapah dan berpecah berdasarkan keperluan kaum, pendidikan di Malaysia telah berubah kepada satu system yang berusaha untuk mencapai perpaduan negara berdasarkan acuan sendiri. Malaysia berhasrat untuk membangunkan masyarakat berdaya saing yang kuat, bersatu dan berdaya tahan dalam berdepan dengan cabaran dan kesukaran.

Sebelum Kemerdekaan: Pendidikan semasa Pemerintahan British (1824 hingga 1957)

Sebelum mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British pada tahun 1957, didapati tiada satu sistem pendidikan yang bersepadu. Setiap kaum menubuhkan sekolah sendiri. Sekolah Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil mempunyai bahasa pengantar, kurikulum, buku-buku dan guru yang dilantik sendiri. Kanak-kanak berbilang kaum hanya dapat belajar bersama-sama di sekolah Inggeris. Guru-guru sekolah Cina dan Tamil dibawa masuk dari China dan India, manakala orang Melayu tempatan dilatih untuk menjadi guru-guru sekolah Melayu. Pada masa itu, pendidikan berfokus kepada mengekalkan kesetiaan terhadap negara asal mereka, menyebabkan berlakunya pengasingan antara kaum.

Selepas Merdeka: Pendidikan Selepas Kemerdekaan (1957 hingga 1970)

Sebelum kemerdekaan, terdapat kesedaran dalam kalangan pemimpin dan rakyat tempatan untuk menggantikan sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh penjajah dengan satu sistem pendidikan untuk semua. Kesedaran ini membawa kepada terhasilnya Laporan Razak 1956. Laporan Jawatankuasa Pendidikan 1956 telah mewujudkan satu sistem pendidikan yang mempunyai ciri-ciri nasional dan menjamin peluang pendidikan tanpa mengira kaum atau agama. Dasar pendidikan yang digariskan dalam Laporan Razak merupakan asas kepada pembentukan sistem pendidikan kebangsaan yang berteraskan perpaduan.

Pada tahun 1960, satu Jawatankuasa Penilai ditubuhkan untuk melihat pelaksanaan Laporan Razak. Dapatan daripada Jawatankuasa ini yang lebih dikenali dengan Laporan Rahman Talib mengesahkan dasar pendidikan yang terdapat dalam Laporan Razak dan penerimaan rakyat terhadap Laporan ini. Cadangan daripada kedua-dua laporan ini menjadi komponen penting dalam Akta Pendidikan 1961. Akta ini dikuatkuasakan pada tahun 1976 di Sabah dan di Sarawak.

List of Important Education Committee Reports
1
Barnes Report 1951
Fenn-Wu Report 1951
Razak Report 1956
Rahman Talib Report 1960
Higher Education Committee Report 1967
Dropout Report 1973
Cabinet Committee Report 1979
Cabinet Committee Report on Training 1991

Cabaran paling besar yang dihadapi oleh negara baharu ini selepas merdeka ialah perpaduan dan pendemokrasian pendidikan. Pada waktu itu, usaha penggabungan jenis sekolah yang pelbagai  ini bawah satu sistem pendidikan yang kohesif, menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar telah dimulakan. Pada tahun 1957, semua sekolah rendah telah diklasifikasi sebagai sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Sekolah yang bahasa pengantarnya bahasa Malaysia dinamakan SK, manakala sekolah Inggeris, sekolah Cina dan sekolah Tamil menjadi SJK menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa vernakular sebagai bahasa pengantar. Bahasa kebangsaan dijadikan mata pelajaran wajib di semua SJK.

SJK Inggeris diubah status menjadi SK secara berperingkat bermula 1968, dengan pelaksanaan lima mata pelajaran diajar dalam bahasa Malaysia untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3. Sekolah menengah jenis kebangsaan (SMK) Inggeris dan Cina diubah status menjadi sekolah menengah kebangsaan dengan diberi bantuan penuh atau separuh, manakala sekolah persendirian Cina yang memilih untuk menjadi sekolah bantuan penuh diklasifikasi sebagai Sekolah Bantuan Kerajaan.Tahun 1958 menyaksikan permulaan bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa pengantar di sekolah menengah, dan secara berperingkat bahasa kebangsaan menjadi bahasa pengantar dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah menengah Inggeris.

Dewan Bahasa dan Pustaka (1956) dan Institut Bahasa (1958) merupakan agensi yang bertanggungjawab untuk membangunkan bahasa Malaysia. Fungsi utama Institut Bahasa adalah untuk melatih guru-guru Bahasa Malaysia, manakala DBP dipertanggungjawab untuk meneguhkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan menerbitkan buku-buku dalam bahasa kebangsaan.

Pada tahun 1962, yuran sekolah dimansuhkan di semua sekolah rendah bantuan kerajaan. Pendidikan rendah percuma diberikan kepada semua murid tanpa mengira kumpulan etnik atau agama. Peperiksaan Sekolah Menengah Malaysia, ujian kemasukan ke sekolah menengah yang pernah dijalankan satu masa dahulu, dimansuhkan pada tahun 1964, di Sarawak pada tahun 1974 dan pada tahun 1977 di Sabah. Pendidikan asas dilanjutkan daripada enam hingga Sembilan tahun di Semenanjung Malaysia.

Agenda nasional untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan etnik di Malaya bermula dengan perubahan kurikulum. Usaha mengkaji semula kurikulum bermula dengan melihat semula sukatan pelajaran yang ada dan merangka kandungan yang berasaskan perspektif Malaysia. Untuk pertama kali kajian semula skop dan kandungan kurikulum yang diajar di sekolah telah dijalankan pada tahun 1956. Jawatankuasa Kajian Semula Sukatan Pelajaran telah dibentuk pada tahun 1964 untuk membuat penilaian semula, meminda, dan dalam kes tertentu merangka sukatan pelajaran yang baharu. Sistem pendidikan yang komprehensif untuk sekolah menengah rendah diperkenalkan pada tahun 1965. Pendidikan teknik dan vokasional telah diberi anjakan dengan pembentukan Bahagian Teknik dan Vokasional di Kementerian Pelajaran pada tahun 1964.

Pembangunan Pendidikan dalam Era Dasar Ekonomi Baru (1971 hingga 1990)

Isu sosial dan ekonomi merupakan dua aspek penting yang membentuk pembangunan pendidikan negara daripada tahun 1971 hingga tahun 1990. Keharmonian kaum dan usaha untuk mengawal keseimbangan ekonomi dalam kalangan masyarakat merupakan usaha kritikal untuk mengekalkan pembangunan, kestabilan dan kemajuan.

Era Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini merupakan satu era yang penting untuk mencapai perpaduan dan pembangunan secara menyeluruh, dengan memberi fokus terhadap pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat Malaysia, serta mengelakkan sesuatu kaum itu dikenal pasti mengikut fungsi ekonomi dan lokasi geografi. Usaha yang sangat penting pada waktu ini termasuk meningkatkan pendapatan golongan miskin terutama di kawasan luar bandar serta merapatkan jurang antara kaum dan lokasi. Kerajaan juga beurusha meningkatkan pengeluaran dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk kaum bumiputera dalam sektor perdagangan, industri dan profesional.

DEB telah membawa kepada perubahan signifikan dalam system pendidikan nasional dengan semua murid mengikuti kurikulum dan peperiksaan yang sama. Pendidikan sivik diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran untuk memupuk semangat berdikari dalam kalangan murid. Mata pelajaran Sains dan teknikal ditawarkan di peringkat menengah untuk melatih lebih ramai tenaga mahir dalam bidang sains dan teknologi.

Matlamat untuk mencapai perpaduan nasional melalui penggunaaan bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar bermula sejak tahun 1970, dengan pelaksanaan dijalankan secara berperingkat. Di Semenanjung
dan di Sabah, bahasa Inggeris dimansuhkan sebagai bahasa pengantar sekolah rendah bermula 1975, di peringkat menengah pada 1982, dan peringkat pasca menengah pada tahun 1983. Di Sarawak, perubahan dalam bahasa pengantar dilaksanakan pada 1977, bermula dengan murid Tahun 1.

Hari ini bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar di semua SK dan mata pelajaran wajib di SJK Cina dan SJK Tamil. Bahasa Inggeris diajar sebagai bahasa kedua di semua sekolah. Pada tahun 1980, peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan dalam bahasa Malaysia. Pada tahun 1970, bahasa Inggeris tidak lagi menjadi bahasa pengantar untuk latihan guru sekolah rendah.

Peruntukan untuk pendidikan yang pada peringkat awalnya lebihberfokus kepada kawasan bandar telah diperluas ke kawasan luar bandar. Lebih banyak sekolah dibina di kawasan luar bandar untuk memberi akses kepada murid luar bandar, terutama dalam kalangan mereka yang kurang mampu. Kerajaan juga telah memperkenalkan konsep sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah sains, asrama sekolah luar bandar, skim bantuan buku teks dan TV Pendidikan untuk menyokong pendidikan murid. Kerajaan juga meluaskan peruntukan biasiswa, program bantuan makanan dan kesihatan.

Pada tahun 1974, satu Jawatankuasa Jemaah Menteri telah ditubuhkan untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan nasional. Fokus Jawatankuasa ini adalah untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat menghasilkan warganegara yang bersatu padu, progresif, berdisiplin dan berpotensi dalam pelbagai bidang yang diperlukan untuk mencapai misi nasional. Hasil daripada Laporan Jawatankuasa Kabinet ini, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah dibentuk pada tahun 1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1989. Falsafah Pendidikan Kebangsaan telah dirangka pada tahun 1988 untuk menjadi panduan dan mengukuhkan sistem pendidikan negara.

Pembangunan Pendidikan dalam Era Dasar Pembangunan Nasional (1991
hingga 2000)

Perubahan drastik dalam pendidikan telah berlaku dalam dekad terakhir abad ke- 20. Pembangunan pesat dalam ICT telah mempercepatkan era globalisasi. Sejajar dengan cabaran globalisasi dan era teknologi maklumat, Wawasan 2020 telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 untuk memacu aspirasi rakyat Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020. Kementerian Pelajaran mengorak langkah untuk merangka satu sistem pendidikan untuk mencapai wawasan ini. Langkah awal ialah meminda peruntukan undang-undang bagi pendidikan supaya lebih relevan dengan keperluan semasa. Justeru Akta Pendidikan 1961 diganti dengan Akta Pendidikan 1996.

Satu daripada pindaan besar yang dilakukan ialah dengan menggabung pendidikan prasekolah dalam Sistem Pendidikan Nasional. Enakmen yang terkandung dalam Akta Pendidikan Tinggi Swasta juga dipinda untuk membenarkan penubuhan lebih banyak institusi pendidikan tinggi swasta. Kementerian telah menggubal empat akta baharu untuk menggalakkan pembangunan pendidikan tinggi yang lebih sistematik.

Akta tersebut ialah:

▪▪ Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 – membenarkan penubuhan Majlis yang akan menentukan dasar dan menguruskan pembangunan pendidikan tinggi.
▪▪ Akta Lembaga Akreditasi Nasional 1996 – memastikan kualiti, terutama untuk program pendidikan tinggi swasta.
▪▪ Akta Universiti dan Kolej Universiti (Pindaan) 1996 – memperuntukkan lebih autonomi dari segi kewangan dan pengurusan kepada IPTA
▪▪ Akta Dana Kerjasama Pendidikan Tinggi Nasional 1996 - menyediakan pinjaman dan dana bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi.

Satu langkah utama pada masa ini adalah untuk meningkatkan akses kepada pendidikan tinggi dengan menubuhkan lebih banyak universiti awam, kolej universiti, kolej matrikulasi, kolej komuniti, kolej swasta dan universiti, termasuk kampus cawangan universiti luar negara. Maktab Perguruan Sultan Idris dinaik taraf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 1997. Program Diploma Pendidikan juga diperkenalkan untuk menggantikan program Sijil Perguruan bagi guru praperkhidmatan di maktab perguruan. Pelbagai langkah juga diambil untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dalam kalangan pemimpin sekolah. Institut Aminuddin Baki (IAB) telah diberi kepercayaan untuk memberikan latihan kepimpinan dan pengurusan kepada pemimpin dan pengurus sekolah. Satu lagi perubahan signifikan adalah pengenalan kepada konsep terbuka untuk peperiksaan SPM dan STPM pada tahun 2000.

Pembangunan Pendidikan semasa Era Dasar Wawasan Nasional (2001 hingga 2010)

Globalisasi, liberalisasi dan pembangunan pesat ICT terus mempengaruhi pembangunan sistem pendidikan negara. Cabaran untuk negara pada ketika itu ialah untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, cekap dan berdaya saing di peringkat global. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah digubal berdasarkan Ordinan Pendidikan 1957 yang dipinda melalui Laporan Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960) dan Laporan Jawatankuasa Jemaah Menteri (1979). Untuk memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, sistem persekolahan formal telah ditambah kepada 11 tahun, penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar, kurikulum kebangsaan, dan standard pentaksiran yang sama. Beberapa langkah telah diambil untuk meminda Akta Pendidikan dalam usaha untuk mengukuhkan sistem pendidikan.

Akta Pendidikan

Ordinan Pelajaran, 1952
Ordinan Pelajaran, 1957
Akta Pelajaran, 1961
Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 67
(Semakan - 1971)
Akta Pendidikan, 1996

Pelbagai langkah juga telah diambil untuk menyediakan infrastruktur berkualiti dan meningkatkan kemudahan pendidikan di semua institusi pendidikan bagi menampung pertambahan enrolmen murid. Pembangunan kompetensi dan kecekapan pemimpin, guru, dan pegawai pendidikan menjadi agenda utama dalam era ini. Konsep penurunan kuasa (empowerment) dan organisasi pembelajaran (learning organisation) dipupuk dan digalakkan. Peruntukan diberikan untuk pembangunan sumber manusia secara berterusan. Program seperti latihan dalam perkhidmatan untuk pembangunan pengurusan, kepimpinan, dan kemahiran membuat kajian dijalankan di semua peringkat Kementerian. Usaha ini penting bagi memastikan sistem pengurusan pendidikan yang kompeten dan cekap mampu memberikan pendidikan berkualiti serta relevan kepada negara.

Pelan Pembangunan Pendidikan (2001-2010)

Pelan Pembangunan Pendidikan mengambil kira matlamat dan aspirasi Dasar Wawasan Nasional untuk membina negara yang berdaya tahan, menggalakkan kewujudan masyarakat yang adil, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang lestari, membangunkan masyarakat berdaya saing di peringkat global, membina ekonomi berdasarkan pengetahuan (K-economy), meneguhkan pembangunan sumber manusia dan mengekalkan pembangunan alam sekitar yang lestari.

Matlamat Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah untuk memastikan semua warganegara mempunyai peluang untuk melalui 12 tahun pendidikan formal dari segi akses, ekuiti dan kualiti. Kementerian juga telah menggariskan matlamat dan strategi untuk membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu untuk menghasilkan individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelan ini termasuklah strategi untuk memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid, memperkaya budaya pembelajaran, membangunkan budaya sains dan teknologi, menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat, serta menyediakan sistem pendidikan berkualiti, cekap, dan berkesan.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini memberi fokus kepada pembangunan prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi yang diperkukuh melalui pembangunan program sokongan, dana, pengurusan dan integrasi ICT. Pelan Pembangunan Pendidikan merupakan kerangka bagi menyediakan pelan tindakan untuk pembangunan pendidikan, termasuk memperluas dan mengukuh program sedia ada serta menggantikan program yang tidak relevan dengan program yang lebih realistic dengan keperluan semasa dan masa depan. Pelan Pembangunan Pendidikan dirangka berdasarkan empat anjakan: (i) meningkatkan akses kepada pendidikan, (ii) meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, (iii) meningkatkan kualiti pendidikan dan (iv) meningkatkan tahap kompetensi dan kecekapan pengurusan pendidikan. Bagi melaksanakan program dalam pelan pembangunan ini, kerajaan sentiasa menambah dana untuk Kementerian. Kementerian sentiasa menggalakkan badan bukan kerajaan (NGOs) sektor swasta serta individu untuk memberikan sokongan dari segi kewangan, menawarkan yuran yang kompetitif kepada pelajar antarabangsa yang belajar di sekolah atau institusi pendidikan di Malaysia. Pembabitan sektor swasta dalam pendidikan tinggi amat menggalakkan. Rakan pintar, insentif, program berkembar dan perkongsian latihan serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) membantu pihak kerajaan untuk mencapai matlamat pendidikan.


Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006- 2010)

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dilancar pada bulan Januari 2007 bagi memperinci agenda pendidikan bawah Rancangan Malaysia ke 9. PIPP menggariskan enam teras yang mencerminkan objektif misi nasional, iaitu membina negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan, merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan, dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan.

PIPP 2006-2010 merupakan satu dokumen perancangan pendidikan yang menyeluruh berdasarkan tiga aspek utama, iaitu infrastruktur, kandungan dan sumber manusia. Dua pendekatan yang dikenal pasti bawah Rancangan Malaysia ke-9 bagi memastikan matlamat ini dicapai adalah:

Melengkapkan tugasan yang peru dilaksanakan bawah pelan lima tahun sebelum ini, memastikan akses kepada pendidikan untuk semua, dan memberikan peluang yang sama untuk semua murid.

Meningkatkan lagi potensi sekolah dalam kluster institusi pendidikan, mengupayakan guru dan murid untuk meningkatkan prestasi sekolah dan sistem pendidikan negara pada tahap antarabangsa.


Pembangunan Pendidikan melalui Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2010-2012

Pada tahun 2010, Kerajaan melancarkan NKRA bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP). Bawah program ini, Kerajaan memberi fokus kepada empat inisiatif bagi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti:

▪▪ Meningkatkan enrolmen prasekolah:
Kajian menunjukkan lima tahun pertama merupakan masa yang paling kritikal dalam perkembangan kanak-kanak. Inisiatif NKRA mensasarkan pertambahan enrolmen murid prasekolah, terutama di kawasan luar bandar, daripada 67% ke 87% pada tahun 2012;

▪▪ Memastikan literasi Bahasa Malaysia and Numerasi:
LINUS dirangka untuk memastikan setiap murid dapat menguasai kemahiran asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun menjalani pendidikan rendah arus perdana pada akhir tahun 2012, bermula dengan kadar 80% pada tahun 2009;

▪▪ Membangunkan Sekolah Berprestasi Tinggi:
Kementerian bercadang untuk membangunkan 100 sekolah berprestasi tinggi menjelang 2012 yang setanding dengan standard antarabangsa. Status sebagai sekolah berprestasi tinggi akan memberikan sekolah keluwesan dari segi operasi dalam usaha mereka bagi meningkatkan keberhasilan murid. Sehingga kini 66 sekolah sudah dikenal pasti sebagai sekolah berprestasi tinggi; dan

▪▪ Memperkenalkan Bai’ah untuk pemimpin sekolah:
Satu program insentif pencapaian dikenali sebagai perjanjian baharu memberi ganjaran kepada sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam masa yang singkat. Insentif ini juga diberikan kepada sekolah yang mengekalkan prestasi tinggi bagi menggalakkan pemimpin sekolah meningkatkan prestasi secara signifikan. 93 pemimpin sekolah menerima ganjaran melalui insentif ini pada tahun 2011.

Dalam dua tahun pelaksanaan, program pendidikan bawah NKRA ini telah mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam meningkatkan akses, terutamanya pada peringkat prasekolah dan meningkatkan literasi asas dan numerasi. Masa depan inisiatif ini amat menggalakkan bagi mencapai sasaran bawah NKRA demi memartabatkan pendidikan berkualiti di negara ini.