Mungkin ramai dikalangan guru tidak mengambil berat tentang pengurusan rekod di sekolah. Ini menyebabkan mengurusan rekod di kebanyakan sekolah tidak begitu teratur dan kemaskini. Sebenarnya pengurusan rekod sangat penting untuk memastikan perjalanan pentadbiran sekolah berjalan lancar. Justeru itu saya ingin berkongsi pengetahuan tentang Pengurusan Rekod di Jabatan Awam Malaysia yang memberi fokus kepada Urusan Surat dan Pengurusan Fail berasaskan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2007 - Panduan Pengurusan Pejabat. :-
URUSAN SURAT KERAJAAN
Pendahuluan
1. Surat merupakan salah satu cara perhubungan yang penting di antara agensi Kerajaan dengan agensi Kerajaan yang lain dan orang ramai. Surat disediakan bagi tujuan antaranya untuk menyampai atau mendapatkan maklumat, arahan, keputusan dan idea baru.
2. Surat yang disediakan oleh agensi Kerajaan merupakan salah satu dokumen dan rekod rasmi. Surat adalah penting bagi membuktikan wujudnya penyaluran maklumat antara sesama agensi Kerajaan dan dengan pihak lain. Setiap surat hendaklah jelas, tepat dan ringkas supaya mesej dapat disampaikan dengan berkesan. Sesuai dengan perkembangan teknologi, surat boleh dihantar melalui mesin faksimili dan electronic-mail (emel) di samping melalui pos dan penghantaran tangan.
Penyediaan
3. Penyediaan surat rasmi Kerajaan hendaklah mengandungi elemen-elemen berikut:
(a) alamat pengirim;
(b) alamat penerima;
(c) nombor rujukan;
(d) tarikh surat;
(e) tajuk surat;
(f) pembukaan dan pengakhiran surat; dan
(g) penomboran perenggan, muka surat dan lampiran.
4. Huraian bagi setiap elemen adalah seperti berikut:-
(a) Alamat Pengirim :
Muka surat pertama hendaklah menggunakan kepala surat yang mengandungi nama, alamat, nombor telefon dan nombor faksimili agensi pengirim. Ini akan memudahkan penerima menjawab surat atau menghubungi agensi pengirim di samping memberi gambaran bahawa surat berkenaan adalah atas urusan rasmi Kerajaan;
(b) Alamat Penerima :
Alamat penerima di dalam surat rasmi Kerajaan hendaklah dibuat seperti berikut:
(i) Agensi Kerajaan
Surat kepada sesebuah agensi Kerajaan hendaklah dialamatkan kepada ketua agensi berkenaan mengikut gelaran rasmi jawatannya, manakala surat yang khusus kepada ketua agensi hendaklah didahului dengan kata hormat, gelaran kebesaran, nama, gelaran jawatan dan alamat rasmi agensi berkenaan. Surat yang ditujukan kepada pegawai tertentu hendaklah ditambah di bawah alamat dengan perkataan ‘untuk perhatian’ (u.p. nama pegawai berkenaan).
(ii) Orang Ramai / Individu
Surat kepada orang ramai atau individu hendaklah dialamatkan kepada nama dan alamat individu berkenaan. Bagi individu yang mempunyai gelaran kebesaran, kata hormat dan gelaran hendaklah dinyatakan pada namanya.
(iii) Pihak Berkuasa Berkanun / Pertubuhan / Firma
Surat kepada Pihak Berkuasa Berkanun, Pertubuhan atau Firma hendaklah dialamatkan kepada ketua badan, pertubuhan atau firma berkenaan mengikut gelaran rasmi jawatannya, diikuti dengan nama dan alamat rasminya.
(iv) Surat Melalui Peguam
Surat kepada orang awam atau firma melalui peguam hendaklah dialamatkan kepada peguam yang dilantik bagi menguruskan hal ehwal orang awam atau firma berkenaan.
(c) Permulaan Surat :
Surat yang ditujukan kepada jabatan/agensi Kerajaan hendaklah dimulakan dengan ‘Tuan’ manakala kepada orang ramai hendaklah dimulakan dengan ‘Tuan’ atau ‘Puan’. Surat yang khusus kepada Ketua Jabatan/Agensi yang mempunyai gelaran kebesaran hendaklah didahului dengan kata hormat dan gelaran kebesarannya. Begitu juga bagi surat kepada orang awam yang mempunyai gelaran kebesaran.
(d) Nombor Rujukan :
Surat hendaklah mempunyai nombor rujukan failnya supaya mudah dikesan untuk tindakan lanjut. Nombor rujukan ini hendaklah dicatatkan di ruang atas sebelah kanan surat sebagai rujukan kami. Surat jawapan kepada surat yang diterima hendaklah juga dicatatkan nombor rujukan fail pengirim sebagai rujukan tuan di atas rujukan kami;
(e) Tarikh Surat :
Tarikh surat hendaklah dicatatkan di bahagian atas sebelah kanan;
(f) Tajuk Surat :
Surat perlu diberikan tajuk (atau perkara) yang dapat menggambarkan kandungan surat berkenaan. Setiap surat hendaklah seboleh-bolehnya dihadkan kepada satu tajuk (atau perkara) sahaja. Bagi surat jawapan, tajuk yang sama hendaklah digunakan.
(g) Pembuka Kata dan Akhir Surat :
Surat boleh dimulakan dengan cara yang difikirkan sesuai oleh penulis, tetapi setiap surat hendaklah diakhiri dengan perkataan ‘Saya yang menurut perintah’ di sudut kiri sebelah bawah surat sebelum tandatangan pegawai yang berkenaan. Jika pegawai yang menandatangani surat itu bukan Ketua Jabatan, pegawai berkenaan hendaklah menandatanganinya bagi pihak (b.p.) Ketua Jabatan. Nama pegawai itu hendaklah menggunakan huruf besar di sudut kiri surat di bawah tandatangannya; dan
(h) Penomboran Perenggan, Muka Surat dan Lampiran :
Semua perenggan dalam surat, kecuali perenggan pertama, hendaklah dinomborkan secara berturutan. Surat yang mengandungi lebih daripada satu muka surat, muka surat seterusnya hendaklah juga diberi nombor yang berturutan. Lampiran yang disertakan kepada surat hendaklah dinomborkan di bahagian atas sebelah kanan, misalnya Lampiran 1 atau Lampiran A dan nombor lampiran ini mestilah sama dengan nombor yang dirujuk di dalam surat. Nombor rujukan surat hendaklah dicatitkan di bahagian atas sebelah kiri.
5. Surat hendaklah disediakan dalam tiga (3) salinan. Salinan asal dihantar kepada penerima, salinan kedua dikandungkan dalam fail yang berkenaan dan salinan ketiga pula dikandungkan dalam fail timbul (float file). Jika ada keperluan, salinan tambahan perlu diedarkan sebagai salinan kepada (s.k.).
6. Semasa menyediakan surat, pegawai hendaklah memperakukan kepada pegawai pengelas untuk menentukan taraf keselamatan surat sama ada terbuka atau terperingkat. Kod peringkat keselamatan hendaklah dicatatkan sebagai sebahagian daripada nombor rujukan fail bagi surat berkenaan.
Pendaftaran Dan Pengedaran
Surat yang ditujukan khusus kepada Ketua/Timbalan Ketua Jabatan hendaklah diserahkan kepada Pembantu Khas (tanpa dibuka), manakala surat yang dialamatkan kepada Ketua Jabatan dan surat untuk perhatian pegawai hendaklah diserahkan kepada pegawai yang bertanggungjawab menguruskan surat jabatan.
Pegawai yang bertanggungjawab menguruskan surat jabatan sahaja yang boleh membuka surat dan mendaftarkannya mengikut prosedur yang ditetapkan.
Sebelum sesuatu surat diedarkan untuk diambil tindakan oleh Ketua/Timbalan Ketua Jabatan atau pegawai lain, tindakan segera hendaklah diambil untuk memasukkan surat ke dalam fail yang berkenaan mengikut cara yan betul.
Semua surat yang diterima hendaklah diambil tindakan segera. Sekiranya surat itu memerlukan jawapan segera ia hendaklah dibalas dalam masa yang singkat. Sekiranya jawapan segera tidak dapat diberikan, penulis surat itu hendaklah dimaklumkan melalui surat akuan terima yang menyatakan bahawa jawapan yang lengkap akan disusuli dalam satu jangka masa yang dinyatakan.
Pembantu Khas atau pegawai yang bertanggungjawab menguruskan surat jabatan hendaklah memastikan semua surat yang hendak dihantar keluar adalah salinan asal yang lengkap dengan tarikh, nombor rujukan fail, alamat yang betul dan tepat, lampiran (jika ada) dan telah ditandatangan oleh pegawai yang bertanggungjawab. Setiap surat keluar hendaklah didaftarkan mengikut prosedur yang ditetapkan.
Penghantaran surat boleh dibuat melalui mesin faksimili. Walaupun surat telah dihantar melalui mesin faksimili, surat asal hendaklah disusuli segera. Selain itu penghantaran surat juga boleh dibuat melalui emel. Peraturan penerimaan dan penghantaran surat melalui mesin faksimili dan emel hendaklah dipatuhi.
Pengurusan Surat Terperingkat
Pengurusan surat terperingkat termasuk yang diterima dan yang dihantar hendaklah dikawal dengan selamat menerusi pendaftaran rahsia semasa menerima, memproses, menyimpan dan menghantar mengikut Arahan Keselamatan dan peraturan yang berkaitan.
PENGURUSAN FAIL
Kepentingan Pengurusan Fail
Surat dan dokumen lampiran yang diterima dan diwujudkan oleh jabatan dan agensi Kerajaan dalam menjalankan urusan rasminya hendaklah dikandungkan dalam satu fail yang didaftar menggunakan kulit fail yang ditetapkan. Penggunaan fail ini membolehkan maklumat yang terkandung di dalamnya dikawal dan dicapai dengan cepat dan tepat apabila diperlukan. Fail mesti diuruskan dengan sistematik mengikut piawaian dan prosedur pengurusan rekod yang ditetapkan oleh Jabatan Arkib Negara.
Pengkelasan Fail
Fail boleh dikategorikan kepada fail urusan am (house keeping files) dan fail urusan fungsian (functional files). Fail urusan am mengandungi surat dan dokumen lampiran berkaitan dengan hal pentadbiran, bangunan dan harta, kelengkapan dan bekalan, kewangan dan personel. Fail urusan fungsian pula mengandungi surat dan dokumen lampiran berkaitan dengan fungsi dan aktiviti asas jabatan.
Fail terperingkat hendaklah dikelaskan mengikut peringkat keselamatan selaras dengan Arahan Keselamatan.
Pengkelasan Perkara Dan Pengkodan (subject classification and coding)
Setiap fail hendaklah diberi tajuk fail yang membayangkan kandungan fail tersebut. Tajuk fail diberi berdasarkan pengkelasan perkara yang berasaskan fungsi dan aktiviti jabatan dan agensi berkenaan. Setiap perkara diberi pengkodan nombor yang mana akan menjadi nombor rujukan fail. Jabatan dan agensi boleh mendapat khidmat nasihat kepakaran daripada Jabatan Arkib Negara bagi penyediaan Pengkelasan Perkara dan Pengkodan.
Prosedur Pengurusan Pembukaan Fail
Apabila sesuatu dokumen diterima atau diwujudkan dan fail mengenainya belum ada, maka fail baru hendaklah dibuka. Tajuk dan nombor rujukan fail serta tarikh pembukaan fail perlu dicatatkan di atas kulit fail. Fail yang dibuka ini hendaklah didaftarkan dalam daftar fail jabatan.
Setiap fail mestilah mengandungi kertas minit dan kandungan surat dan dokumen lampiran yang disusun seturut mengikut tarikh transaksi. Setiap kandungan diberi nombor lampiran dan direkodkan di atas kertas minit menggunakan dakwat merah bagi surat dan dokumen lampiran yang diterima dan dakwat biru atau hitam bagi surat yang keluar.
Kertas minit adalah penting bagi mencatat segala arahan dan keputusan berhubung dengan sesuatu perkara yang diuruskan. Minit pendek seperti minit bebas yang tidak lebih daripada satu perenggan boleh dicatat di atas kertas minit. Manakala minit panjang yang memerlukan penerangan lanjut hendaklah ditaip dan dikandungkan sebagai satu kandungan.
Surat rasmi yang didaftar atas kertas minit tidak boleh dikeluarkan daripada kandungan fail kecuali lampiran yang ketebalannya melebihi 4 sentimeter (contoh terbitan, laporan dan sebagainya) atau memerlukan pemeliharaan yang berbeza seperti peta, pelan dan lukisan. Lampiran yang dikeluarkan ini hendaklah dicatatkan dengan nombor kod fail dan nombor lampiran fail berkenaan, serta disimpan di bilik fail. Slip pengganti dokumen ini hendaklah dikandungkan di dalam fail yang mana tercatat maklumat tempat simpanan dokumen tersebut. Ini untuk memudahkan pengesanan semula dokumen.
Fail yang mengandungi 100 kandungan atau ketebalannya 4 sentimeter hendaklah ditutup dan fail baru dibuka. Di atas kulit fail yang telah ditutup itu hendaklah dipalang dengan dakwat merah dan dicatatkan perkataan ‘DITUTUP – JILID 2 DIBUKA’ dengan dakwat biru atau hitam menggunakan dakwat kekal. Di atas kulit fail yang baru pula hendaklah dicatatkan tajuk dan nombor rujukan yang sama beserta dengan catatan ‘Jilid 2’ (Jld. 2).
Fail sementara
Fail sementara hanya boleh dibuka apabila:
(i) surat atau dokumen yang diterima atau diwujudkan memerlukan tindakan segera sedangkan fail yang berkenaan tidak dapat dikesan; atau
(ii) lebih dari seorang pegawai perlu mengambil tindakan dengan menggunakan fail yang sama.
Nombor rujukan fail dan tajuk fail bagi fail sementara mestilah sama dengan nombor dan tajuk fail asal. Isi kandungan berserta kulit fail sementara hendaklah dimasukkan kembali ke dalam fail asal sebagai satu kandungan apabila fail asal telah diperolehi atau tindakan serentak telah selesai dilakukan. Jika fail asal tidak dapat dikesan sehingga satu tempoh tertentu fail baru hendaklah dibuka bagi menggantikan fail sementara tersebut.
Penyimpanan dan Pergerakan Fail
Fail terbuka perlu disimpan di Bilik Rekod dengan menggunakan rak yang sesuai. Ia hendaklah disusun seturut mengikut nombor rujukan fail. Setiap rak hendaklah dilabelkan bagi memudahkan pengesanan fail. Fail terperingkat pula hendaklah disimpan dalam kabinet berkunci yang berpalang, rak bergerak yang berkunci atau bilik kebal sesuai dengan Arahan Keselamatan.
Pergerakan Fail hendaklah direkodkan bagi memudahkan pengawalan dan pengesanan fail.
Simpan Dalam Perhatian
Kaedah Simpan Dalam Perhatian (SDP) hendaklah digunakan bagi memudahkan tindakan susulan (follow up) ke atas sesuatu surat dalam tempoh masa dan tarikh yang ditetapkan.
Fail Timbul (Float File)
Fail timbul boleh digunakan bagi memaklumkan Ketua Jabatan, pegawai-pegawai penyelia atau pegawai-pegawai atasan mengenai sesuatu tindakan yang telah diambil. Sekiranya pengedaran maklumat di jabatan dan agensi menggunakan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), fail timbul tidak perlu diwujudkan.
Sistem Pengurusan Dokumen Dan Rekod Elektronik
Selaras dengan perkembangan ICT, jabatan dan agensi digalakkan membangunkan aplikasi bagi menguruskan maklumat dan rekod di jabatan masing-masing. Sistem pengurusan maklumat dan rekod elektronik membolehkan penyimpanan dan capaian maklumat dan rekod secara maya (virtual).
Pembangunan Sistem Aplikasi Berkomputer
Jabatan dan agensi hendaklah mendapatkan nasihat Jabatan Arkib Negara semasa membangunkan sistem aplikasi berkomputer bagi memastikan rekod elektronik yang diwujudkan, disenggara dan dilupus mengikut piawaian kearkiban.
Pelupusan Fail
Jabatan dan agensi hendaklah mendapatkan nasihat Jabatan Arkib Negara sebelum melaksanakan pelupusan fail.
Monday, June 24, 2013
Saturday, April 13, 2013
Falsafah Pendidikan Guru. (FPG)
Berlandaskan kepada Falsafah Pendidikan Negara (FPN),
Falsafah Pendidikan Guru yangdinyatakan berikut akan menentukan arah haluan,
asas dan sumber inspirasi kepada matlamatdan pendidikan guru:
“guru yang berpekerti mulia, berpandangan progresif dan
saintifik, bersedia menjunjung aspirasi Negaraserta menyanjung aspirasi Negara
serta menyanjung warisan kebudayaan Negara, menjamin perkembanganindividu dan
memelihara suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan
berdisiplin.”
Matlamat Pendidikan Guru
Berdasarkan kepada Falsafah Pendidikan Guru yang tersebut di
atas, maka matlamat pendidikanguru ialah menghasilkan guru yang berkualiti dari
segi peribadi, professional, sosial dan amalan tingkah laku; menguasai ilmu,
kemahiran dan amalan nilai-nilai keguruan, serta berupaya mencapai kecemerlangan
pendidikan untuk pengisian tuntutan Wawasan Pendidikan dalam abad ke-21.
Model Konseptual Pendidikan Guru
Model Konseptual Pendidikan Guru adalah dirangka
berlandaskan kepada dasar Falsafah Pendidikan Guru dan Matlamat Pendidikan.
Model ini merangkumi akauntabiliti guru di bawah tiga dimensi utama, iaitu:
1. Ketuhanan : peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan
individu berterasakankepercayaan dan kepatuhan kepada ajaran agama.
2. Kemasyarakatan
: penekanan peranan guru sebagai pendidik, pemimipin dan agen
perubahan.
3. Kendiri : penekanan pembinaan daya kefahaman dan patriotism,
pemupukan budaya ilmu serta pembentukan sahsiah murni dan berpekerti mulia.
Di
bawah tiga dimensi utama tersebut, Model Konseptual Pendidikan Guru ini
merangkumi tiga aspek asas, iaitu :
1. Pengetahuan yang berkaitan dengan
perkembangan dan kepentingan pendidikan dalamkehidupan.
2. Kemahiran ikhtisas
yang merangkumi kemahiran menggunakan bahan-bahan pelajaran dengan tujuan
meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran.
3. Nilai yang merujuk kepada
amalan nilai-nilai murni, perlakuan guru yang penyayang, berpekerti mulia,
berdaya tahan, patriotik, inovatif, kreatif dan patuh kepada etika profesion
keguruan.
Disamping itu Model Konseptual Pendidikan Guru juga
menekankan matlamat mengembangkan potensi guru secara seimbang dan bersepadu
dari segi rohani, emosi, intelek dan jasmani. Unsur-unsur akauntabiliti guru,
aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai serta potensi guru adalah digambarkan
seperti di bawah:
Peranan Guru sebagai
Pendidik
1. Guru hendaklah melengkapkan diri dengan pengetahuan am dan
pengetahuan dalam mata pelajran, khasnya mata pelajaran KBSR, serta pengetahuan
ikhtisas keguruan.
2. Mengamalkan pengajaran dan pembelajaran selaras dengan
hasrat Falsafah Pendidikan Guru, khasnya mengembangkan individu dan memelihara
suatu masyarakat yang bersatu padu, demokratik, progresif dan
berdisiplin.
3. Menyemai dan memupuk amalan nilai-nilai murni dan etika keguruan
kepada diri dan pelajar selaras dengan tuntutan Falsafah Pendidikan Guru.
4. Menyempurnakan tanggungjawab dan akauntabiliti sebagai
insan guru yang sentiasa mencari ilmu serta mengamalkannya bagi memenuhi
tuntutan keperluan pendidikan danmasa depan.
5. Menggunakan ilmu dan kemahiran
mendidik serta nilai keguruan untuk merangsang perkembangan pelajar.
Saturday, March 9, 2013
Sejarah Ringkas Pendidikan di Malaysia
Petikan
daripada “Pendidikan di Malaysia: Ke Arah Kecemerlangan” 2008, Kementerian
Pelajaran Malaysia.
Sejak kemerdekaan, pendidikan di Malaysia telah melalui
pelbagai perubahan yang besar dan pembangunan yang ketara. Daripada satu sistem
yang bercapah dan berpecah berdasarkan keperluan kaum, pendidikan di Malaysia
telah berubah kepada satu system yang berusaha untuk mencapai perpaduan negara
berdasarkan acuan sendiri. Malaysia berhasrat untuk membangunkan masyarakat
berdaya saing yang kuat, bersatu dan berdaya tahan dalam berdepan dengan cabaran dan
kesukaran.
Sebelum Kemerdekaan: Pendidikan semasa Pemerintahan
British (1824 hingga 1957)
Sebelum mencapai kemerdekaan daripada kerajaan British pada
tahun 1957, didapati tiada satu sistem pendidikan yang bersepadu. Setiap kaum
menubuhkan sekolah sendiri. Sekolah Melayu, Inggeris, Cina, dan Tamil mempunyai
bahasa pengantar, kurikulum, buku-buku dan guru yang dilantik sendiri.
Kanak-kanak berbilang kaum hanya dapat belajar bersama-sama di sekolah
Inggeris. Guru-guru sekolah Cina dan Tamil dibawa masuk dari China dan India,
manakala orang Melayu tempatan dilatih untuk menjadi guru-guru sekolah Melayu.
Pada masa itu, pendidikan berfokus kepada mengekalkan kesetiaan terhadap negara
asal mereka, menyebabkan berlakunya pengasingan antara kaum.
Selepas Merdeka: Pendidikan Selepas
Kemerdekaan (1957 hingga 1970)
Sebelum kemerdekaan, terdapat kesedaran dalam kalangan pemimpin dan
rakyat tempatan untuk menggantikan sistem pendidikan yang ditinggalkan oleh
penjajah dengan satu sistem pendidikan untuk semua. Kesedaran ini membawa
kepada terhasilnya Laporan Razak 1956. Laporan Jawatankuasa Pendidikan 1956
telah mewujudkan satu sistem pendidikan yang mempunyai ciri-ciri nasional dan menjamin
peluang pendidikan tanpa mengira kaum atau agama. Dasar pendidikan yang
digariskan dalam Laporan Razak merupakan asas kepada pembentukan sistem
pendidikan kebangsaan yang berteraskan perpaduan.
Pada tahun 1960, satu Jawatankuasa Penilai ditubuhkan untuk melihat
pelaksanaan Laporan Razak. Dapatan daripada Jawatankuasa ini yang lebih
dikenali dengan Laporan Rahman Talib mengesahkan dasar pendidikan yang terdapat
dalam Laporan Razak dan penerimaan rakyat terhadap Laporan ini. Cadangan
daripada kedua-dua laporan ini menjadi komponen penting dalam Akta Pendidikan
1961. Akta ini dikuatkuasakan pada tahun 1976 di Sabah dan di Sarawak.
List of Important Education Committee Reports
1
Barnes Report 1951
Fenn-Wu Report 1951
Razak Report 1956
Rahman Talib Report 1960
Higher Education Committee Report 1967
Dropout Report 1973
Cabinet Committee Report 1979
Cabinet Committee Report on Training 1991
Cabaran paling besar yang dihadapi oleh negara baharu ini
selepas merdeka ialah perpaduan dan pendemokrasian pendidikan. Pada waktu itu,
usaha penggabungan jenis sekolah yang pelbagai ini bawah satu sistem pendidikan yang kohesif,
menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar telah dimulakan. Pada
tahun 1957, semua sekolah rendah telah diklasifikasi sebagai sekolah kebangsaan
(SK) dan sekolah jenis kebangsaan (SJK). Sekolah yang bahasa pengantarnya
bahasa Malaysia dinamakan SK, manakala sekolah Inggeris, sekolah Cina dan
sekolah Tamil menjadi SJK menggunakan bahasa Inggeris dan bahasa vernakular
sebagai bahasa pengantar. Bahasa kebangsaan dijadikan mata pelajaran wajib di semua
SJK.
SJK Inggeris diubah status menjadi SK secara berperingkat
bermula 1968, dengan pelaksanaan lima mata pelajaran diajar dalam bahasa Malaysia
untuk murid Tahun 1 hingga Tahun 3. Sekolah menengah jenis kebangsaan (SMK)
Inggeris dan Cina diubah status menjadi sekolah menengah kebangsaan dengan
diberi bantuan penuh atau separuh, manakala sekolah persendirian Cina yang memilih
untuk menjadi sekolah bantuan penuh diklasifikasi sebagai Sekolah Bantuan
Kerajaan.Tahun 1958 menyaksikan permulaan bahasa Malaysia digunakan sebagai bahasa
pengantar di sekolah menengah, dan secara berperingkat bahasa kebangsaan
menjadi bahasa pengantar dalam pelbagai mata pelajaran di sekolah menengah Inggeris.
Dewan Bahasa dan Pustaka (1956) dan Institut Bahasa (1958) merupakan
agensi yang bertanggungjawab untuk membangunkan bahasa Malaysia. Fungsi utama
Institut Bahasa adalah untuk melatih guru-guru Bahasa Malaysia, manakala DBP
dipertanggungjawab untuk meneguhkan kedudukan bahasa Malaysia sebagai bahasa
kebangsaan dan menerbitkan buku-buku dalam bahasa kebangsaan.
Pada tahun 1962, yuran sekolah dimansuhkan di semua sekolah rendah
bantuan kerajaan. Pendidikan rendah percuma diberikan kepada semua murid tanpa
mengira kumpulan etnik atau agama. Peperiksaan Sekolah Menengah Malaysia, ujian
kemasukan ke sekolah menengah yang pernah dijalankan satu masa dahulu,
dimansuhkan pada tahun 1964, di Sarawak pada tahun 1974 dan pada tahun 1977 di Sabah.
Pendidikan asas dilanjutkan daripada enam hingga Sembilan tahun di Semenanjung
Malaysia.
Agenda nasional untuk menyatupadukan pelbagai kumpulan etnik di
Malaya bermula dengan perubahan kurikulum. Usaha mengkaji semula kurikulum
bermula dengan melihat semula sukatan pelajaran yang ada dan merangka kandungan
yang berasaskan perspektif Malaysia. Untuk pertama kali kajian semula skop dan
kandungan kurikulum yang diajar di sekolah telah dijalankan pada tahun 1956. Jawatankuasa
Kajian Semula Sukatan Pelajaran telah dibentuk pada tahun 1964 untuk membuat
penilaian semula, meminda, dan dalam kes tertentu merangka sukatan pelajaran
yang baharu. Sistem pendidikan yang komprehensif untuk sekolah menengah rendah diperkenalkan
pada tahun 1965. Pendidikan teknik dan vokasional telah diberi anjakan dengan
pembentukan Bahagian Teknik dan Vokasional di Kementerian Pelajaran pada tahun
1964.
Pembangunan
Pendidikan dalam Era Dasar Ekonomi Baru (1971 hingga 1990)
Isu sosial dan ekonomi merupakan dua aspek penting yang membentuk
pembangunan pendidikan negara daripada tahun 1971 hingga tahun 1990.
Keharmonian kaum dan usaha untuk mengawal keseimbangan ekonomi dalam kalangan
masyarakat merupakan usaha kritikal untuk mengekalkan pembangunan, kestabilan
dan kemajuan.
Era Dasar Ekonomi Baru (DEB) ini merupakan satu era yang penting
untuk mencapai perpaduan dan pembangunan secara menyeluruh, dengan memberi
fokus terhadap pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat Malaysia,
serta mengelakkan sesuatu kaum itu dikenal pasti mengikut fungsi ekonomi dan
lokasi geografi. Usaha yang sangat penting pada waktu ini termasuk meningkatkan
pendapatan golongan miskin terutama di kawasan luar bandar serta merapatkan
jurang antara kaum dan lokasi. Kerajaan juga beurusha meningkatkan pengeluaran
dan mewujudkan lebih banyak peluang untuk kaum bumiputera dalam sektor
perdagangan, industri dan profesional.
DEB telah membawa kepada perubahan signifikan dalam system pendidikan
nasional dengan semua murid mengikuti kurikulum dan peperiksaan yang sama.
Pendidikan sivik diperkenalkan sebagai satu mata pelajaran untuk memupuk
semangat berdikari dalam kalangan murid. Mata pelajaran Sains dan teknikal
ditawarkan di peringkat menengah untuk melatih lebih ramai tenaga mahir dalam
bidang sains dan teknologi.
Matlamat untuk mencapai perpaduan nasional melalui penggunaaan bahasa
Malaysia sebagai bahasa pengantar bermula sejak tahun 1970, dengan pelaksanaan
dijalankan secara berperingkat. Di Semenanjung
dan di Sabah, bahasa Inggeris dimansuhkan sebagai bahasa
pengantar sekolah rendah bermula 1975, di peringkat menengah pada 1982, dan peringkat
pasca menengah pada tahun 1983. Di Sarawak, perubahan dalam bahasa pengantar
dilaksanakan pada 1977, bermula dengan murid Tahun 1.
Hari ini bahasa Malaysia menjadi bahasa pengantar di semua SK
dan mata pelajaran wajib di SJK Cina dan SJK Tamil. Bahasa Inggeris diajar
sebagai bahasa kedua di semua sekolah. Pada tahun 1980, peperiksaan Sijil
Pelajaran Malaysia (SPM) dijalankan dalam bahasa Malaysia. Pada tahun 1970,
bahasa Inggeris tidak lagi menjadi bahasa pengantar untuk latihan guru sekolah
rendah.
Peruntukan untuk pendidikan yang pada peringkat awalnya lebihberfokus
kepada kawasan bandar telah diperluas ke kawasan luar bandar. Lebih banyak
sekolah dibina di kawasan luar bandar untuk memberi akses kepada murid luar
bandar, terutama dalam kalangan mereka yang kurang mampu. Kerajaan juga telah
memperkenalkan konsep sekolah berasrama penuh (SBP), sekolah sains, asrama
sekolah luar bandar, skim bantuan buku teks dan TV Pendidikan untuk menyokong
pendidikan murid. Kerajaan juga meluaskan peruntukan biasiswa, program bantuan
makanan dan kesihatan.
Pada tahun 1974, satu Jawatankuasa Jemaah Menteri telah ditubuhkan
untuk mengkaji pelaksanaan sistem pendidikan nasional. Fokus Jawatankuasa ini
adalah untuk memastikan sistem pendidikan negara dapat menghasilkan warganegara
yang bersatu padu, progresif, berdisiplin dan berpotensi dalam pelbagai bidang
yang diperlukan untuk mencapai misi nasional. Hasil daripada Laporan
Jawatankuasa Kabinet ini, Kurikulum Baru Sekolah Rendah telah dibentuk pada tahun
1983 dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah pada tahun 1989. Falsafah
Pendidikan Kebangsaan telah dirangka pada tahun 1988 untuk menjadi panduan dan
mengukuhkan sistem pendidikan negara.
Pembangunan Pendidikan dalam Era Dasar Pembangunan
Nasional (1991
hingga 2000)
Perubahan drastik dalam pendidikan telah berlaku dalam dekad terakhir
abad ke- 20. Pembangunan pesat dalam ICT telah mempercepatkan era globalisasi.
Sejajar dengan cabaran globalisasi dan era teknologi maklumat, Wawasan 2020
telah dilancarkan oleh Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad pada tahun 1991 untuk
memacu aspirasi rakyat Malaysia mencapai status negara maju pada tahun 2020.
Kementerian Pelajaran mengorak langkah untuk merangka satu sistem pendidikan
untuk mencapai wawasan ini. Langkah awal ialah meminda peruntukan undang-undang
bagi pendidikan supaya lebih relevan dengan keperluan semasa. Justeru Akta
Pendidikan 1961 diganti dengan Akta Pendidikan 1996.
Satu daripada pindaan besar yang dilakukan ialah dengan
menggabung pendidikan prasekolah dalam Sistem Pendidikan Nasional. Enakmen yang
terkandung dalam Akta Pendidikan Tinggi Swasta juga dipinda untuk membenarkan
penubuhan lebih banyak institusi pendidikan tinggi swasta. Kementerian telah
menggubal empat akta baharu untuk menggalakkan pembangunan pendidikan tinggi
yang lebih sistematik.
Akta
tersebut ialah:
▪▪ Akta Majlis Pendidikan Tinggi
Negara 1996 – membenarkan penubuhan Majlis yang
akan menentukan dasar dan menguruskan pembangunan pendidikan tinggi.
▪▪ Akta Lembaga Akreditasi
Nasional 1996 – memastikan kualiti, terutama
untuk program pendidikan tinggi swasta.
▪▪ Akta Universiti dan Kolej
Universiti (Pindaan) 1996 – memperuntukkan
lebih autonomi dari segi kewangan dan pengurusan kepada IPTA
▪▪ Akta Dana Kerjasama Pendidikan
Tinggi Nasional 1996 - menyediakan pinjaman dan dana
bagi meningkatkan akses kepada pengajian tinggi.
Satu langkah utama pada masa ini adalah untuk meningkatkan akses
kepada pendidikan tinggi dengan menubuhkan lebih banyak universiti awam, kolej
universiti, kolej matrikulasi, kolej komuniti, kolej swasta dan universiti,
termasuk kampus cawangan universiti luar negara. Maktab Perguruan Sultan Idris
dinaik taraf kepada Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) pada tahun 1997.
Program Diploma Pendidikan juga diperkenalkan untuk menggantikan program Sijil Perguruan
bagi guru praperkhidmatan di maktab perguruan. Pelbagai langkah juga diambil
untuk meningkatkan kualiti kepimpinan dalam kalangan pemimpin sekolah. Institut
Aminuddin Baki (IAB) telah diberi kepercayaan untuk memberikan latihan
kepimpinan dan pengurusan kepada pemimpin dan pengurus sekolah. Satu lagi perubahan
signifikan adalah pengenalan kepada konsep terbuka untuk peperiksaan SPM dan
STPM pada tahun 2000.
Pembangunan Pendidikan semasa Era Dasar
Wawasan Nasional (2001 hingga 2010)
Globalisasi, liberalisasi dan pembangunan pesat ICT terus mempengaruhi
pembangunan sistem pendidikan negara. Cabaran untuk negara pada ketika itu
ialah untuk menghasilkan modal insan yang berpengetahuan, cekap dan berdaya
saing di peringkat global. Dasar Pendidikan Kebangsaan telah digubal
berdasarkan Ordinan Pendidikan 1957 yang dipinda melalui Laporan Razak (1956), Laporan
Rahman Talib (1960) dan Laporan Jawatankuasa Jemaah Menteri (1979). Untuk
memupuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, sistem persekolahan formal
telah ditambah kepada 11 tahun, penggunaan Bahasa Malaysia sebagai bahasa
pengantar, kurikulum kebangsaan, dan standard pentaksiran yang sama. Beberapa
langkah telah diambil untuk meminda Akta Pendidikan dalam usaha untuk mengukuhkan
sistem pendidikan.
Akta Pendidikan
Ordinan Pelajaran, 1952
Ordinan Pelajaran, 1957
Akta Pelajaran, 1961
Akta Bahasa Kebangsaan 1963 / 67
(Semakan - 1971)
Akta Pendidikan, 1996
Pelbagai langkah juga telah diambil untuk menyediakan
infrastruktur berkualiti dan meningkatkan kemudahan pendidikan di semua institusi
pendidikan bagi menampung pertambahan enrolmen murid. Pembangunan kompetensi
dan kecekapan pemimpin, guru, dan pegawai pendidikan menjadi agenda utama dalam
era ini. Konsep penurunan kuasa (empowerment) dan organisasi
pembelajaran (learning organisation) dipupuk dan digalakkan. Peruntukan diberikan untuk pembangunan
sumber manusia secara berterusan. Program seperti latihan dalam perkhidmatan
untuk pembangunan pengurusan, kepimpinan, dan kemahiran membuat kajian
dijalankan di semua peringkat Kementerian. Usaha ini penting bagi memastikan sistem
pengurusan pendidikan yang kompeten dan cekap mampu memberikan pendidikan
berkualiti serta relevan kepada negara.
Pelan Pembangunan Pendidikan (2001-2010)
Pelan
Pembangunan Pendidikan mengambil kira matlamat dan aspirasi Dasar Wawasan
Nasional untuk membina negara yang berdaya tahan, menggalakkan kewujudan
masyarakat yang adil, mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang lestari,
membangunkan masyarakat berdaya saing di peringkat global, membina ekonomi berdasarkan
pengetahuan (K-economy), meneguhkan pembangunan sumber manusia dan mengekalkan
pembangunan alam sekitar yang lestari.
Matlamat
Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah untuk memastikan semua warganegara
mempunyai peluang untuk melalui 12 tahun pendidikan formal dari segi akses,
ekuiti dan kualiti. Kementerian juga telah menggariskan matlamat dan strategi
untuk membangunkan potensi individu secara holistik dan bersepadu untuk menghasilkan
individu yang seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani selaras
dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Pelan ini termasuklah strategi
untuk memupuk kreativiti dan inovasi dalam kalangan murid, memperkaya budaya
pembelajaran, membangunkan budaya sains dan teknologi, menggalakkan pembelajaran
sepanjang hayat, serta menyediakan sistem pendidikan berkualiti, cekap, dan
berkesan.
Pelan Pembangunan Pendidikan ini memberi fokus kepada pembangunan
prasekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan pendidikan tinggi yang
diperkukuh melalui pembangunan program sokongan, dana, pengurusan dan integrasi
ICT. Pelan Pembangunan Pendidikan merupakan kerangka bagi menyediakan pelan
tindakan untuk pembangunan pendidikan, termasuk memperluas dan mengukuh program
sedia ada serta menggantikan program yang tidak relevan dengan program yang
lebih realistic dengan keperluan semasa dan masa depan. Pelan Pembangunan Pendidikan
dirangka berdasarkan empat anjakan: (i) meningkatkan akses kepada pendidikan,
(ii) meningkatkan ekuiti dalam pendidikan, (iii) meningkatkan kualiti
pendidikan dan (iv) meningkatkan tahap kompetensi dan kecekapan pengurusan
pendidikan. Bagi melaksanakan program dalam pelan pembangunan ini, kerajaan
sentiasa menambah dana untuk Kementerian. Kementerian sentiasa menggalakkan
badan bukan kerajaan (NGOs) sektor swasta serta individu untuk memberikan
sokongan dari segi kewangan, menawarkan yuran yang kompetitif kepada pelajar
antarabangsa yang belajar di sekolah atau institusi pendidikan di Malaysia.
Pembabitan sektor swasta dalam pendidikan tinggi amat menggalakkan. Rakan pintar,
insentif, program berkembar dan perkongsian latihan serta penyelidikan dan
pembangunan (R&D) membantu pihak kerajaan untuk mencapai matlamat
pendidikan.
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006- 2010)
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan dilancar pada bulan Januari 2007
bagi memperinci agenda pendidikan bawah Rancangan Malaysia ke 9. PIPP
menggariskan enam teras yang mencerminkan objektif misi nasional, iaitu membina
negara bangsa, membangunkan modal insan, memperkasakan sekolah kebangsaan,
merapatkan jurang pendidikan, memartabatkan profesion keguruan, dan melonjakkan
kecemerlangan institusi pendidikan.
PIPP 2006-2010 merupakan satu dokumen perancangan pendidikan yang
menyeluruh berdasarkan tiga aspek utama, iaitu infrastruktur, kandungan dan
sumber manusia. Dua pendekatan yang dikenal pasti bawah Rancangan Malaysia ke-9
bagi memastikan matlamat ini dicapai adalah:
▪▪ Melengkapkan
tugasan yang peru dilaksanakan bawah pelan lima tahun sebelum ini, memastikan
akses kepada pendidikan untuk semua, dan memberikan peluang yang sama untuk
semua murid.
▪▪ Meningkatkan
lagi potensi sekolah dalam kluster institusi pendidikan, mengupayakan guru dan
murid untuk meningkatkan prestasi sekolah dan sistem pendidikan negara pada
tahap antarabangsa.
Pembangunan Pendidikan melalui Bidang
Keberhasilan Utama Negara (NKRA) 2010-2012
Pada tahun 2010, Kerajaan melancarkan NKRA bawah Program Transformasi
Kerajaan (GTP). Bawah program ini, Kerajaan memberi fokus kepada empat
inisiatif bagi meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti:
▪▪ Meningkatkan enrolmen
prasekolah:
Kajian menunjukkan lima tahun pertama merupakan masa yang paling
kritikal dalam perkembangan kanak-kanak. Inisiatif NKRA mensasarkan pertambahan
enrolmen murid prasekolah, terutama di kawasan luar bandar, daripada 67% ke 87%
pada tahun 2012;
▪▪ Memastikan literasi Bahasa
Malaysia and Numerasi:
LINUS dirangka untuk memastikan setiap murid dapat menguasai kemahiran
asas literasi dan numerasi selepas tiga tahun menjalani pendidikan rendah arus
perdana pada akhir tahun 2012, bermula dengan kadar 80% pada tahun 2009;
▪▪ Membangunkan Sekolah
Berprestasi Tinggi:
Kementerian bercadang untuk membangunkan 100 sekolah berprestasi
tinggi menjelang 2012 yang setanding dengan standard antarabangsa. Status
sebagai sekolah berprestasi tinggi akan memberikan sekolah keluwesan dari segi
operasi dalam usaha mereka bagi meningkatkan keberhasilan murid. Sehingga kini
66 sekolah sudah dikenal pasti sebagai sekolah berprestasi tinggi; dan
▪▪ Memperkenalkan Bai’ah untuk
pemimpin sekolah:
Satu program insentif pencapaian dikenali sebagai perjanjian baharu
memberi ganjaran kepada sekolah yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam masa
yang singkat. Insentif ini juga diberikan kepada sekolah yang mengekalkan
prestasi tinggi bagi menggalakkan pemimpin sekolah meningkatkan prestasi secara
signifikan. 93 pemimpin sekolah menerima ganjaran melalui insentif ini pada
tahun 2011.
Dalam dua tahun pelaksanaan, program pendidikan bawah NKRA ini
telah mencapai keputusan yang memberangsangkan dalam meningkatkan akses,
terutamanya pada peringkat prasekolah dan meningkatkan literasi asas dan
numerasi. Masa depan inisiatif ini amat menggalakkan bagi mencapai sasaran
bawah NKRA demi memartabatkan pendidikan berkualiti di negara ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)