Friday, February 19, 2010

Guru Umpama Mutiara Bersinar

Tidak dapat dinafikan negara kita sangat memerlukan rakyat yang berilmu, berwawasan dan memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelbagai aspek. Semua ini akan dapat membawa negara kita ke arah kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan hingga akhirnya rakyat dan negara kita dapat berdikari serta mampu bersaing dalam menghadapi cabaran-cabaran di persada dunia.


Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Az-Zumar ayat 9, tafsirnya:

"Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna."

Maka jelaslah kepada kita betapa ilmu itu sangat berharga, bahkan ia merupakan kunci kepada kegemilangan tamadun suatu bangsa. Ilmu tidak akan diperolehi jika tidak dicari dan dipelajari. Dari itu peranan para guru atau pendidik itu sangat besar dan diperlukan untuk membimbing kita dan generasi seterusnya menjadi insan yang berilmu dan berakhlak mulia. Ini kerana ilmu yang dituntut tanpa bimbingan seseorang guru adalah ibarat si buta berjalan tanpa tongkatnya. Justeru itu guru hendaklah memiliki iltizam atau komitmen yang tinggi terhadap tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada mereka.

Sesungguhnya guru yang berkualiti adalah umpama mutiara yang bersinar, merekalah harapan untuk membangun anak bangsa menjadi insan cemerlang, bukan sahaja untuk menjadi cerdik pandai tetapi juga mempunyai akhlak yang mulia.

Oleh yang demikian, guru hendaklah mempunyai ciri-ciri sebagai guru yang berkualiti, antaranya ialah sentiasa meningkatkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bermotivasi tinggi, kreatif, inovatif dan efektif dalam pengajarannya, menggunakan pelbagai strategi dan kaedah pengajaran yang berkesan dan seterusnya sentiasa berusaha memperbaiki mutu pengajaran mereka. Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam ada bersabda, maksudnya:

"Dari ‘Aisyah Radiallahuanha berkata, sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Sesungguhnya Allah Subhanahu Wata’ala suka kepada orang yang bekerja dan apabila bekerja ia sentiasa mengerjakan dengan sempurna akan pekerjaannya." - (Riwayat Al-Imam Al-Baihaki).


Selain itu, apa yang paling penting ialah para guru hendaklah tulus ikhlas dalam mendidik dan membimbing anak-anak murid mereka. Ini kerana dengan cara demikian akan menjadikan mereka guru yang sabar dan tabah dalam menghadapi apa jua situasi dan kerenah anak didik mereka, serta turut menjadikan mereka guru yang sentiasa bersikap positif, tidak mengenal penat lelah dan bukan menjadikan imbalan material sebagai tujuan utama.

Jika guru ingin dihormati, dikasihi dan dihargai, setiap insan yang bergelar guru perlu mengekalkan keperibadian yang unggul. Bahkan Islam memandang mulia tugas seorang guru dan mereka juga telah dijanjikan ganjaran yang sangat besar dari Allah Subhanahu Wata’ala. Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Al-Mujaadilah ayat 11 tafsirnya:

"Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama dari kalangan kamu beberapa darjat. Dan ingatlah Allah Maha Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang kamu lakukan."

Dan Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam juga bersabda, maksudnya:

"Dari Abi Addardha ia berkata: Saya mendengar Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Dan sesungguhnya para ulama adalah pewaris para nabi. Dan sesungguhnya para nabi tidak mewarisi umatnya dengan wang ringgit, tetapi mereka mewariskan ilmu pengetahuan."

Akhirnya sama-samalah kita berdoa ke hadrat Allah Subhanahu Wata’ala agar para guru sentiasa dilimpahkan taufik dan hidayat dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka terutama dalam mendidik anak bangsa, sekali gus dapat menjadikan negara kita maju dan aman makmur. Dan sama-samalah juga kita berdoa semoga mereka mendapat rahmat dan perlindungan dari Allah Subhanahunu Wata’ala jua. Amin Ya RaĆ”bal ‘alamin.

Firman Allah Subhanahu Wata’ala dalam Surah Faathir ayat 28, tafsirnya:

"Sebenarnya yang menaruh bimbang dan takut melanggar perintah Allah dari kalangan hamba-hamba-Nya hanyalah orang-orangnya yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun.’’

No comments:

Post a Comment